KENYATAAN MEDIA: Pemindahan Pengundi Merentasi Kawasan DUN dan Parlimen Bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan

[English Version]

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) menuntut Suruhan Pilihan Raya (SPR) memberikan penjelasan berkaitan pengundi-pengundi yang telah dialihkan kawasan DUN dan Parlimen pengundian mereka. Perkara ini berlaku ekoran proses “pembetulan lokaliti[1]” yang dijalankan oleh SPR baru-baru ini.
Kajian awal mendapati bahawa 118,774 pengundi telah dipindahkan kawasan DUN, yang mana lebih daripada 40,000 pengundi yang dipindahkan melibatkan pemindahan kawasan Parlimen, walaupun alamat mereka tidak berubah.
Contoh 1: Seramai 2,208 pengundi di Bandar Utama Batang Kali, Selangor merupakan pengundi kawasan DUN Batang Kali pada Pilihan Raya Umum 2013. Selepas proses pembetulan lokaliti ini, pengundi-pengundi tersebut telah terpindah kepada kawasan DUN Kuala Kubu Baharu.
Contoh 2: Seramai 37 pengundi yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota, Pahang pada Pilihan Raya Umum 2013 telah dipindahkan kepada kawasan Parlimen Kemaman, Terengganu.
Jumlah pengundi yang dipindah di beberapa kawasan DUN dan Parlimen adalah amat besar dan boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Berikut merupakan 5 DUN dan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi dipindah yang tertinggi:

Dari Parlimen Ke Parlimen Jumlah Pengundi Terlibat
P191 – Kalabakan P190 – Tawau 2742
P141 – Sekijang P140 – Segamat 2694
P107 – Subang P108 – Shah Alam 1937
P66 – Batu Gajah P71 – Gopeng 1837
P101 – Hulu Langat P102 – Serdang 1622

 

Dari DUN Ke DUN Jumlah Pengundi Terlibat
P145 – Bakri N13 – Sungai Abong P145 – Bakri N12 – Bentayan 6322
P94 – Hulu Selangor N07 – Batang Kali P94 – Hulu Selangor N06 – Kuala Kubu Baharu 5590
P141 – Sekijang N03 – Pemanis P140 – Segamat N02 – Jementah 2448
P58 – Bagan Serai N12 – Selinsing P58 – Bagan Serai N11 – Gunong Semanggol 2077
P107 – Subang N39 – Kota Damansara P108 – Shah Alam N40 – Kota Anggerik 1937

Pembetulan lokaliti menyebabkan bilangan pengundi dan sempadan pilihan raya kawasan DUN/Parlimen berubah. Tindakan ini adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana pada dasarnya merupakan proses persempadanan semula yang memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.
Tambahan lagi, ini akan menyebabkan kekeliruan di kalangan pengundi pada hari mengundi kerana pembetulan lokaliti turut boleh mengubah pusat mengundi mereka. Ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar baru-baru ini, BERSIH2.0 telah menerima beberapa aduan daripada pengundi yang tidak dibenarkan mengundi di pusat mengundi asal mereka kerana telah dipindahkan ke Padang Rengas.
Pemindahan pengundi tersebut juga mengakibatkan kesulitan kepada penduduk, wakil rakyat, dan pihak berkuada tempatan dalam menguruskan isu-isu penduduk tempatan.
BERSIH2.0 menuntut SPR supaya:

  • memperjelaskan sebab-sebab pembetulan lokaliti untuk setiap lokaliti yang dilakukan supaya pengundi dapat membuat penilaian; dan
  • memindahkan semula semua pengundi yang terjejas dengan aktiviti ini ke kawasan pengundian asal mereka kerana perubahan kawasan pengundian hanya boleh dilakukan melalui proses persempadanan semula.

BERSIH2.0 menyeru kepada orang ramai supaya menyemak semula kawasan DUN dan Parlimen masing-masing di laman SPR: http://daftarj.spr.gov.my/DAFTARJ/. Jika mendapati kawasan DUN atau Parlimen telah diubah, laporan boleh dikemukan kepada BERSIH2.0 melalui laman https://www.bersih.org/pindahpengundi atau 03 7931 4444
[1] Lokaliti merupakan tempat tinggal sekumpulan orang tempatan/pengundi yang mempunyai talian social jelas seperti kampung atau taman perumahan. Dari segi pilihan raya, lokaliti menuntukan DUN dan Parlimen seseorang pengundi.