Kenyataan Media Bersih 2.0, GBM dan ABIM (10 Jun 2020): Persetujuan 6-Perkara Pelbagai-Parti Bagi Penjajaran Semula Politik Dan Penamatan Komplot Politik Yang Tidak Berkesudahan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa diadakan *persetujuan* multi-parti untuk menjajarkan semula pertandingan antara parti politik dan menamatkan komplot yang tidak berkesudahan semenjak perubahan kerajaan pada PRU14 dan memuncak pada 23 Februari 2020 dengan “Langkah Sheraton”.

Bersih 2.0, GBM dan ABIM sangat khuatir dengan perkembangan dan senario yang berikut:

  1. Parti politik dan ahli-ahli politik enggan menerima keputusan pilihan raya umum sebagai keputusan muktamad bagi lima tahun lagi, mengakibatkan gelombang demi gelombang lompatan dan lompatan-kembali pada pertengahan penggal oleh wakil rakyat yang dipilih.
  2. Dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini, lompatan wakil rakyat yang dipilih telah menjatuhkan kerajaan persekutuan dan empat kerajaan negeri dan dengan desas-desus rampasan semula kuasa, kejatuhan lebih banyak kerajaan mungkin berterusan pada pertengahan penggal.
  3. Ketakutan kepada lompatan dalam undi tidak percaya menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional(PN) dengan bahayanya melemahkan Parlimen. Parlimen hanya bersidang selama satu jam dalam tempoh enam bulan dan lima pakej ransangan ekonomi Covid-19 sejak 27 Februari berjumlah RM316 billion, tidak dibentangkan bagi kelulusan parlimen.
  4. Pertukaran kiblat politik dan komplot politik pasca-pilihan raya mungkin akan berterusan walaupun selepas pilihan raya umum yang baharu disebabkan perpecahan parti politik yang semakin meningkat dan kemungkinan jumlah turun mengundi yang rendah oleh penambahan bilangan pemilih serta kehampaan pengundi memungkinkan ramai ahli parlimen dipilih dengan undi kurang 50%, parlimen tergantung dan tiada parti yang mendapat keyakinan orang ramai.
  5. Ketidakstabilan politik sebegini menghalang Malaysia daripada membuat respons terbaik kepada kedua-dua isu pandemik Covid-19 dan kemelesetan global.
  6. Pertembungan kelas politik yang berterusan dan kegagalan menguruskan ekonomi serta hubungan antara kaum akan menyahkan keyakinan kesemua parti politik utama dan ahli politik kanan yang sedia ada, yang akan membuka jalan kepada kebangkitan “ahli politik dari luar arena politik” (outsider politicians) populis yang berisiko, pergolakan massa, keruntuhan undang-undang dan ketenteraman, bahkan tergantungnya kerajaan berparlimen.

Justeru, kami menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang mengetuai inisiatif untuk menggantikan beliau, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang Parlimen, untuk menamatkan kebuntuan dan komplot-komplot politik ini dengan pemuafakatan multi-parti bagi penjajaran semula politik, tak kira siapa Perdana Menteri dan parti mana yang berkuasa.

Penjajaran semula politik perlu mewujudkan pertandingan antara parti politik yang sihat dan profesional dengan memastikan layanan yang adil kepada semua. Ianya wajib mengandungi prinsip dan reformasi institusi seperti berikut:

  1. KESETARAAN DI SISI UNDANG-UNDANG – Tamatkan pendakwaan dan imuniti terpilih untuk ahli-ahli politik, aktivis dan perniagaan yang berkaitan politik serta mana-mana orang lain. Sementara reformasi kehakiman untuk mengembalikan kebebasan dan keberkecualiannya perlu diteruskan, satu Pejabat Pendakwa Raya yang bebas dan tidak bersifat politik perlu ditubuhkan segera supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) dapat beroperasi secara berasingan bagi memberikan nasihat undang-undang kepada kerajaan serta mendraf undang-undang sebagai fungsi utamanya.
  2. PERANAN YANG LEBIH KONSTRUKTIF UNTUK PEMBANGKANG DAN AHLI PARLIMEN BANGKU BELAKANG KERAJAAN (GOVERNMENT BACKBENCHERS)– Reformasi Parlimen di peringkat persekutuan dan negeri perlu untuk memberi ruang kepada wakil rakyat yang dipilih pembangkang untuk memainkan peranan yang lebih konstruktif dan berkesan. Kabinet bayangan untuk blok pembangkang utama perlu diiktiraf dan diberikan akses maklumat kerajaan agar mereka boleh merangka polisi yang bertanggungjawab dan munasabah. Setiap ahli parlimen bangku belakang (backbenchers) daripada kerajaan dan pembangkang akan dilantik sebagai ahli dalam sekurang-kurangnya satu jawatankuasa pilihan khas parlimen. Sejumlah hari akan diperuntukkan kepada urusan bukan kerajaan termasuklah rang undang-undang persendirian. Penetapan agenda akan secara inklusif dibuat dengan melibatkan semua parti di parlimen.
  3. REFORMASI PENDANAAN POLITIK YANG KOMPREHENSIF – Pendanaan politik perlu direformasikan untuk melindungi wang pembayar cukai dan juga menjaga kesihatan kewangan parti politik. Empat langkah dibawah perlu dilaksanakan pada tahun 2020 ini dengan parameternya ditentukan oleh Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing*, yang boleh dikaji semula oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Pilihan Raya dan Parti Politik (rujuk Perkara Keenam)

3.1. Tidak ada ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) boleh memegang jawatan bergaji di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan(GLC) sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan.

3.2. Semua jawatan kanan dalam agensi kerajaan dan GLC perlu diisikan dengan individu yang sesuai dengan kelayakan dan keupayaan yang relevan. Gangguan dan penganiayaan bersifat kepartian terhadap kakitangan* di semua peringkat adalah dilarang.

3.3. Semua parti yang memenangi sekurang-kurangnya 5% undi dalam pilihan raya persekutuan atau negeri terakhir akan layak untuk menerima peruntukan persekutuan secara tahunan bagi tempoh lima tahun. Jumlah peruntukan untuk semua parti, formula penentuan agihan peruntukan dan penggunaan peruntukan yang diizinkan akan ditetapkan oleh undang-undang.

3.4. Semua ahli parlimen dan ADUN akan dipertanggungjawabkan dengan dana pembangunan kawasan yang tetap dan sama rata yang ditentukan oleh undang-undang oleh Parlimen dan DUN-DUN masing-masing untuk membantu projek pembangunan kawasan serta aktiviti komuniti, dengan peraturan yang ketat serta mekanisme pemantauan yang berkesan.

  1. PENCEGAHAN LOMPATAN WAKIL RAKYAT – Pilihan raya pecat wakil rakyat (recall elections)* perlu diperkenalkan dengan segera di peringkat persekutuan dan negeri. Perkara ini akan memberi kuasa kepada pengundi untuk memecat wakil rakyat yang dipilih yang mengkhianati mandat pilihan raya atau sebab-sebab lain yang munasabah. Ini akan melindungi parti politik daripada lompatan wakil rakyat yang tidak dipersetujui pengundi namun pada masa yang sama membenarkan penjajaran politik yang direstui oleh pengundi.
  2. PENGIMBANGAN SEMULA PEMBAHAGIAN KUASA PERSEKUTUAN-NEGERI-KERAJAAN TEMPATAN – Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji Hubungan Persekutuan-Negeri dan Tiga Tingkat Kerajaan yang Bermakna. Ruang lingkupnya akan berdasarkan namun tidak terhad kepada Perjanjian Malaysia 1963 supaya semua 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia akan mendapat perwakilan demokratik yang berkesan dan kerajaan yang dipilih di kedua-dua peringkat negeri/wilayah dan bahagian/perbandaran/daerah yang bebas daripada diskriminasi kepartian oleh kerajaan yang di peringkat atas, dan dengan kuasa yang setimpal dengan posisi sejarah mereka dalam Persekutuan Malaysia. Komposisi RCI mesti mengambil kira kepakaran, kredibiliti serta kepelbagaian demografi dan politik.
  3. REFORMASI POLITIK PILIHANRAYA DAN PERWAKILAN – Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Pilihan Raya dan Parti Politik untuk mengkaji bagaimana pertandingan pelbagai-parti yang sihat dapat dilaksanakan. Ianya perlu merangkumi sistem pilihan raya, persempadanan pilihan raya, pilihan raya pecat wakil rakyat, pendanaan politik, demokrasi dalam parti, pemilihan calon, pendaftaran pemillih, penjalanan pilihan raya dan akses media. Komposisi RCI mesti mengambil kira kepakaran, kredibiliti serta kepelbagaian demografi dan politik.

Kami menggesa Perdana Menteri pada mana-mana titik masa untuk memulakan atau meneruskan persetujuan pelbagai-parti bagi mengembalikan demokrasi dan mengukuhkan kestabilan politik di Malaysia agar negara ini dalam kedudukan yang terbaik untuk menangani kesihatan rakyat, ekonomi dan hubungan antara kaum dalam tahun 2020 yang sangat mencabar ini.

Dikeluarkan oleh:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)