Kenyataan Media Bersih 2.0 dan ENGAGE (15 April 2020): #MakanKongsi Sasarkan Tambahan Kutipan RM100,000 lagi untuk Fasa 3 PKP

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan rakan kami ENGAGE ingin memaklumkan bahawa setakat hari ini telah berjaya mengumpulkan RM363,067 untuk inisiatif #MakanKongsi bagi membantu kelompok rentan sepanjang tempoh Fasa 1 dan Fasa 2 PKP. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 1,214 orang penyumbang yang bermurah hati menghulurkan tangan meringankan beban saudara kita yang kurang bernasib baik dan berisiko tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berjalan. 

 

Fokus #MakanKongsi adalah bagi memastikan komuniti rentan dalam negara kita dapat makan dua kali sehari semasa tempoh PKP dan sumbangan yang kami terima telah membantu hampir 6000 orang daripada komuniti rentan setakat ini. Kami telah menyediakan baucar makanan, bantuan kewangan dan bahan makanan asas kepada individu, keluarga dan kampung yang paling berisiko tinggi melalui 26 rakan NGO (untuk maklumat lanjut, sila layari https://bit.ly/MKpartners) dan individu yang bekerja dalam kalangan miskin bandar, Orang Asli/Asal, pekerja migran, pelarian, ibu tunggal, OKU dan lain-lain golongan yang memerlukan.

 

Namun berikutan daripada pemanjangan tempoh PKP kepada fasa 3 sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 April, kami menjangkakan lebih ramai golongan yang akan terjejas untuk mencari punca pendapatan bagi menyara keluarga dan diri mereka untuk meneruskan kehidupan selama 2 minggu lagi sehingga 28 April 2020. Kebanyakan daripada komuniti ini masih dalam risiko disebabkan mereka adalah pekerja bergaji harian yang bergantung kepada Perusahaan Kecil Sederhana(PKS) untuk bekerja. Risiko kebuluran adalah suatu yang pasti bagi mereka akibat tidak ada punca pendapatan sehingga PKP tamat. 

 

Sehubungan itu, Bersih 2.0 dan ENGAGE melalui inisiatif #MakanKongsi ingin mengutip sumbangan sebanyak RM100,000 lagi meneruskan sokongan kami kepada NGO dan individu yang berkredibiliti yang setia membantu golongan yang sangat memerlukan di antara kita. Setiap sen yang anda sumbangkan akan kami tukarkan sepenuhnya menjadi bantuan makanan kepada golongan ini tanpa ada yang kami gunakan untuk kos logistik dan pentadbiran. Dengan tambahan dana sebanyak RM100,000 lagi, sasaran terbaru kami adalah untuk mengutip RM460,000 daripada RM300,000 sebelum ini.

 

Sekali lagi, kami mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang menyumbang kepada #MakanKongsi. Anda telah melakukan perubahan kepada ribuan nyawa yang kami mampu hulurkan bantuan. Kita sememangnya lebih #TeguhBersama dalam memerangi wabak Covid-19 ini. Kita akan berjaya dan kita akan berjaya bersama-sama. 

 

Anda boleh menyumbang melalui rakan pembayaran kami Bold.pay dengan menggunakan kad kredit, debit, perbankan atas talian (online), e-Wallet (Boost, Grabpay, TnG, Mcash, QRPay) dengan mengklik kepada pautan ini: https://boldpay.cc/Catalogue/makankongsi

 

Atau sumbang secara langsung ke akaun kami:

 

Bank: Maybank (PJ Old Town Branch)

Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd

No. akaun: 512295102931

Rujukan: MakanKongsi

 

Sekiranya anda memerlukan resit, sila e-melkan resit bank anda ke info@bersih.org selepas pemindahan wang anda. 

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Jawatankuasa Eksekutif ENGAGE