Kenyataan Media Bersih 2.0 (4 November 2020): Penangguhan Pilihan Raya Perlukan Pindaan Perlembagaan Namun Tidak Patut Dilaksanakan, Tidak Diperlukan Dan Tidak Ada Sebab Yang Munasabah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melihat dengan penuh bimbang berkenaan cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangguhkan pilihan raya disebabkan hal ini mungkin boleh menyebabkan salah guna kuasa oleh ahli politik untuk terus kekal berkuasa. Di samping itu, penangguhan pilihan raya yang memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan dan negeri, tidak dapat dilaksanakan, tidak dingini dan tidak ada sebab yang munasabah dalam situasi politik semasa. Majoriti 2/3 dalam parlimen dan di peringkat legislatif untuk pindaan perlembagaan adalah mustahil.

Kami yakin serta percaya bahawa pilihan raya boleh dijalankan dengan selamat walaupun dalam pandemik Covid-19 sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengusulkan kepada Kabinet untuk meluaskan kemudahan pengundi tidak hadir, sama ada undi pos, undi awal atau undi jarak jauh, kepada semua pengundi yang mempunyai keperluan yang sah. Pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pelaksanaan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) 2003 hanya perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.

New Zealand dan Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat di mana pengundi dibenarkan untuk mengundi dalam satu tempoh tertentu berbanding hanya satu hari sebagaimana yang diamalkan oleh sistem pilihan raya kita. Hasilnya, kesesakan pengundi di pusat pengundian dapat dielakkan dan keselamatan serta kesihatan pengundi dapat dijamin walaupun dalam wabak ini.

Bagi mengelakkan perentasan negeri dan daerah serta kesesakan di pusat pengundian, BERSIH 2.0 menggesa agar pengundi mempunyai akses kepada pengundian awal, pengundian di pusat pengundian jarak jauh  atau pengundian secara pos. Keselamatan pengundi dalam masa yang genting ini perlu dijamin oleh SPR. Justeru, proses pengundian perlu direformasikan dengan kadar yang segera dan berani oleh SPR untuk memastikan proses undi dapat disesuaikan dalam keadaan norma baharu.

Kaedah berkempen juga perlu diubah supaya dapat garis panduan kesihatan dapat dipatuhi serta penjarakan fizikal antara calon dan orang awam perlu dikuatkuasakan dengan ketat. Sebagai gantian kepada perhimpunan dan kempen rumah ke rumah, SPR boleh menggunakan kuasa mereka di bawah Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan bantuan daripada RTM – malah stesen penyiaran swasta – bagi menyiarkan debat ketua-ketua parti politik dan siaran percuma untuk semua calon-calon di semua kawasan pilihan raya. SPR juga perlu merangka Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Siaran Debat dan Siaran Percuma) dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak dipanggil.

BERSIH 2.0 percaya dan yakin bahawa tidak ada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi membenarkan penangguhan pilihan raya. Ianya akan menajdi sekadar satu lagi undang-undang untuk ahli politik kekal berkuasa dan mengelakkan kekalahan dalam pilihan raya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0