KENYATAAN MEDIA (5 SEPTEMBER 2018): Kes Lim Guan Eng menunjukkan Pembaharuan Institusi tidak boleh ditangguhkan lagi

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) turut bersama-sama memberi perhatian terhadap pengguguran pendakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa atas tuduhan rasuah berikutan pembelian sebuah banglo yang di bawah harga pasaran dan satu urusan tanah di Penang.

Lebih parah lagi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan bahawa mereka tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum dakwaan tersebut digugurkan.

Walaupun Dato’ Mohamad Hanafiah bin Zakariah telah menjelaskan bahawa keputusan ini telah dibuat oleh beliau sebagai ketua Bahagian Pendakwaan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) tanpa penglibatan Peguam Negara dalam mengaplikasikan pendekatan “fresh eye”, ia memperlihatkan seakan-akan tiada koordinasi antara SPRM dan AGC.

Menurut Dato’ Mohamad Hanafiah bin Zakariah, SPRM tidak diberitahu tentang keputusan tersebut kerana ingin mengelakkan sebarang campur tangan luar. Kebimbangan orang ramai terhadap kes ini adalah berasal daripada kemungkinan motif politik semasa pemerintahan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya yang ke-14 (GE14). Berikutan dengan berita tentang pengguguran dakwaan Lim Guan Eng selepas Pakatan Harapan baru sahaja memegang tampuk kerajaan, ia melahirkan rasa kerisauan yang lain samaada keputusan yang dibuat mempunyai campur tangan dari luar, terutamanya dari pihak eksekutif.

Manakala BERSIH 2.0 menyambut baik penerangan yang diberikan oleh Dato’ Mohamad Hanafiah bin Zakariah dan ia adalah satu permulaan yang baik untuk memisahkan bidang kuasa pendakwaan daripada peguam negara, kes ini sememangnya menjadi penanda aras dalam keperluan untuk mempunyai satu badan pendakwa raya yang bebas yang dipisahkan daripada pejabat Peguam Negara dengan secepat mungkin untuk mengelakkan kecurigaan dari pihak awam terhadap peranan Peguam Negara sebagai penasihat kepada kerajaan yang boleh mempengaruhi keputusan pendakwaan.

Keyakinan umum terhadap SPRM sebagai satu badan yang bebas dari apa-apa pengaruh juga harus diperketatkan dan tidak boleh ditangguhkan lagi. Ia boleh dicapai dengan menjadikan badan anti-rasuah sebagai satu badan perlembagaan yang telus dan lantikan ahli yang boleh dipercayai. Ini untuk memastikan bahawa badan anti-rasuah ini bebas dari campur tangan luar dan tidak menjadi alat untuk pendakwaan politik terhadap musuh politik mereka.

Semua ini adalah tuntutan-tuntutan yang telah dibuat oleh BESIH 2.0 sejak perhimpunan BERSIH 4 pada tahun 2015. Selain daripada cadangan-cadangan ini dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan, kami belum lagi melihat apa-apa tindakan yang telah diambil oleh kerajaan baru dalam melaksanakan institusi pembaharuan ini.

BERSIH 2.0 menggesa Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil tindakan dalam melaksanakan cadangan-cadangan ini dengan segera. Ini sahaja cara untuk kerajaan baru ini meyakinkan rakyat bahawa kerajaan mempunyai kehendak politik dan komited dalam pembaharuan institusi yang telah dijanjikan kepada pengundi.

Dikeluarkan oleh :

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0