Kenyataan Media (31 Mac 2020): Bersih Sasar Kutipan RM300,000 untuk #MakanKongsi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada #MakanKongsi, satu inisiatif kemanusiaan yang menyediakan makanan dua kali sehari kepada komuniti rentan di Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Penutupan kebanyakan perniagaan dan sekatan pergerakan bagi menangani wabak Covid-19 bermakna pekerja bergaji harian tidak akan ada pendapatan selama 4 minggu tempoh PKP. Bagi kebanyakan mereka, ini bermakna kelaparan dan kebuluran. 

 

Sejak pelancaran #MakanKongsi pada 20 Mac, Bersih 2.0 dan rakan kerjasama kami, ENGAGE, telah mengutip RM137,000 dan kini sedang komited memberikan makanan kepada 1,124 orang sehingga tamat tempoh PKP. Dengan pemanjangan PKP sehingga 14 April, kami yakin situasi ini akan bertambah teruk untuk kebanyakan mereka dan kami berharap untuk menyediakan makanan kepada 2,000 orang bagi hari yang mendatang. Kami memerlukan RM300,000 bagi tujuan tersebut dan kini masih lagi kekurangan RM163,000. 

 

#MakanKongsi dirangka untuk mematuhi sepenuhnya arahan semasa PKP dan oleh sebab itu tidak terkesan dengan sekatan kepada NGO yang menydiakan makanan kepada rakyat jalanan dan golongan memerlukan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara(MKN) baru-baru ini. Bagi mengelakkan kelompok rentan ini berkumpul di tempat dan masa yang ditetapkan bagi mendapatkan makanan mereka, kami memberikan baucar makanan yang akan ditukarkan dengan sajian makanan di restoran atau kedai makan yang terlibat berdekatan dengan tempat mereka. kami kemudiannya akan membayar kepada restoran itu pada hari yang berikutnya berdasarkan baucar yang mereka terima. Dengan cara ini, penerima boleh duduk di rumah dan keluar bila-bila masa untuk ambil makan yang akan dibungkus sebanyak dua kali sehari. Baucar itu diletakkan tarikh dan jenis hidangannya dispesifikkan. 

 

Bagi keluarga atau komuniti yang mampu memasak sendiri, #MakanKongsi memperuntukkan sejumlah wang melalui NGO atau individu yang berhubungan secara langsung dengan golongan yang memerlukan ini. Penelitian akan dibuat untuk mengenalpasti dan bekerjasama dengan NGO/individu yang dipercayai dan setiap pembayaran akan dicatat. 

 

Bersih 2.0 telah mengambil bahagian dalam projek ini kerana berpandangan tidak ada seorang pun yang patut berlapar walaupun dalam tempoh kita melawan wabak Covid-19 dengan PKP. Walaupun Pakej Prihatin diumumkan oleh PM 3 hari yang lalu bagi membantu rakyat dalam kategori B40 sangat dialukan, ianya tidak sampai kepada mereka yang tidak berdaftar dalam sistem. Kami menyeru rakyat Malaysia untuk turut mengambil berat kelompok rentan ini dan menyokong pertubuhan masyarakat sivil untuk membantu mereka menghadapi krisis ini. 

 

Anda boleh menyumbang melalui rakan pembayaran kami, Bold.pay, menggunakan kad kredit, kad debit, pembayaran atas talian(FPX), e-Wallet (Boost, Grabpay, TnG, MCash, QRpay) dengan mengklik di pautan ini:

https://boldpay.cc/Catalogue/makankongsi 

 

Atau masukkan secara langsung ke akaun:

Bank : Maybank (PJ Old Town Branch)

Nama : Bersih & Adil Network Sdn Bhd

No akaun. : 512295102931

Rujukan : MakanKongsi

 

Sekiranya anda memerlukan resit daripada kami, sila e-melkan resit bank anda ke info@bersih.org selepas anda memindahkan wang anda. 

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

 

#KitaJagaKita

#LawanCovid19

#StrongerTogether

#NoOneLeftBehind