BERSIH 4: Masanya telah tiba

KENYATAAN MEDIA – 29 JULAI 2015

BERSIH 4: Masanya telah tiba

Masanya telah tiba untuk semua rakyat Malaysia melangkah maju bagi mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak untuk meletakkan jawatan serta supaya beberapa penambahbaikan institusi dilaksanakan bagi menghentikan korupsi di peringkat tertinggi yang berlarutan sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Rakyat Malaysia menanggung kerugian lantaran skandal RM42 bilion 1MDB, selain banyak lagi aktiviti rasuah, ketirisan dan salah urustadbir.

Najib Razak telah menghapuskan kesemua kemungkinan untuk mencari kebenaran mengenai skandal 1MDB dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, ekoran tindakan politiknya pada 27 dan 28 Julai:

  • Terhentinya perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut, dengan beberapa perbahasan tentang keperlembagaannya. Memandangkan Jabatan Peguam Negara adalah salah satu daripada empat agensi yang menganggotai pasukan khas siasatan 1MDB, terhentinya perkhidmatan Peguam Negara adalah gangguan langsung terhadap kerja-kerja Jabatan Peguam Negara dan memberi isyarat amaran kepada tiga lagi agensi: Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Persoalan keperlembagaan pemberhentian tersebut – yang tidak dilakukan berasaskan alasan dan prosedur setara seorang Hakim Mahkamah Persekutuan – telah disanggah atau dipersoalkan oleh banyak pihak, termasuklah Majlis Peguam.

 

  • Pelantikan empat daripada 13 anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) ke dalam pentadbiran, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed (sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi). Memandangkan anggota PAC tidak boleh memegang jawatan eksekutif, pelantikan ini dilihat sebagai tindakan licik Najib untuk melumpuhkan PAC, sebuah institusi awam yang sedang menyiasat skandal 1MDB dengan sokongan Jabatan Audit Negara, Penerimaan lantikan eksekutif oleh Nur Jazlan dan tiga rakannya adalah sebuah pengkhianatan terhadap keyakinan awam kepada PAC yang diharapkan untuk bertindak ke atas 1MDB.

 

  • Pemusatan kuasa berterusan melalui rombakan Kabinet dengan pengekalan portfolio Menteri Kewangan oleh Najib Razak sendiri dan pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang terus memegang portfolio Menteri Dalam Negeri. Zahid baru sahaja mengarahkan penggantungan tiga bulan terhadap akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berikutan pendedahan skandal 1MDB. Keadaan di mana kedua-dua Perdana Menteri dan Timbalannya memegang dua kementerian yang begitu berkuasa (Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri) mematikan apa sahaja harapan untuk siasatan bebas tanpa sebarang usaha untuk melindungi korupsi dan membisukan para pengkritik.

Memandangkan korupsi di peringkat tertinggi di Malaysia diakibatkan tiga faktor; manipulasi pilihanraya, pemusatan kuasa Eksekutif dan penafian hak membantah, BERSIH 2.0 telah menuntut 10 penambahbaikan institusi:

  1. Penambahbaikan pilihanraya
  2. Menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya sebuah badan di bawah Perlembagaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen
  3. Menghalang Perdana Menteri daripada memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan
  4. Penambahbaikan Parlimen
  5. Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab kepada Parlimen
  6. Mengasingkan Peguam Negara daripada tugas dan peranan Pendakwaraya
  7. Menggubal undang-undang kebebasan maklumat di peringkat Persekutuan dan Negeri
  8. Menteri dan penjawat awam tertinggi perlu mengisyithar harta
  9. Memansuhkan atau meminda undang-undang zalim
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Sebagai langkah segera untuk mengembalikan keyakinan awam kepada siasatan ke atas 1MDB, BERSIH 2.0 telah turut menggesa empat langkah berikut diambil:

  1. Supaya Najib Razak mendedahkan butiran akaun banknya, dan terutamanya memperjelaskan sama ada akaun AmBank dengan namanya benar-benar wujud, dan jika ya, mendedahkan butiran transaksi bagi tarikh-tarikh yang berkenaan
  2. Najib Razak mesti bercuti daripada jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kesemua jawatan awam yang disandangnya selama siasatan berlangsung.
  3. Bekukan akaun Najib Razak, isteri dan anak-anaknya.
  4. Kesemua hasil siasatan Bank Negara, SPRM, pihak polis dan PAC berkenaan 1MDB serta syarikat-syarikat berkaitan mesti didedahkan kepada orang ramai secepat mungkin.

Najib sedang mengambil semua langkah yang mungkin untuk mempertahankan korupsi yang berlaku. Beliau dengan angkuhnya mengesampingkan permintaan rakyat Malaysia yang mahu melihat integriti dan keadilan terlaksana. Beliau tidak lagi mempunyai legitimasi untuk kekal di jawatannya.

BERSIH 2.0 terus komited dan berdedikasi ke arah sebuah sistem pilihanraya dan pentadbiran yang bebas, adil dan terbuka. Melihat kepada teruknya korupsi serta dakwaan bahawa dana ini telah digunakan untuk memanipulasi Pilihanraya Umum ke-13 serta implikasinya terhadap jawatan politik tertinggi dalam negara, kredibiliti institusi-institusi kerajaan sedang menjadi taruhan. Bagi mengembalikan keyakinan terhadap proses pentadbiran kerajaan dan membolehkan dinamisme berterusan dalam ekonomi setempat, Perdana Menteri mesti meletakkan jawatan.

Oleh yang demikian, BERSIH 2.0 mengisytiharkan untuk mengadakan perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 Ogos jam 2 petang sehingga 30 Ogos. Kami menjemput semua rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk menyertai perhimpunan aman ini bagi menuntut supaya Najib Razak meletakkan jawatan dan penambahbaikan institusi dilaksanakan demi menamatkan korupsi di peringkat tertinggi.

BERSIH 2.0 menuntut:

  1. Pilihanraya Bersih
  2. Kerajaan Bersih
  3. Selamatkan Ekonomi
  4. Hak Membantah

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).