Mesej Hari Malaysia Bersih 2.0(15 September 2020): Masa Untuk Membangunkan Semula Malaysia

Sempena ulangtahun pembentukan Malaysia yang ke-57, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) menyeru semua rakyat Malaysi termasuk pemimpin politik, mengambil detik sosial, ekonomi dan politik mencabar ini untuk melangkau lebih jauh daripada hanya memulihkan negara kepada keadaan sebelum COVID-19, tetapi untuk berani memikirkan dan mengimpikan membangunkan semula Malaysia agar kita akan muncul dengan lebih kukuh dan berperanan dengan lebih baik di pentas global. 

Hanya tiga bulan memasuki tahun 2020, Malaysia menyaksikan dua bencana yang berlaku hampir serentak iaitu pandemik COVID-19 dan rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Kocakan daripada kejadian ini masih membinasakan ekonomi dan huru-hara politik yang menimpa kita masih tidak nampak jalan keluarnya.

Ketika kepemimpinan dan kehendak politik diperlukan untuk menyelamatkan ekonomi serta mengembalikan harapan dan keyakinan, kita dihidangkan dengan lebih banyak muslihat politik dan perebutan kuasa, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan negeri, perbicaraan mengenai rampasan semula kuasa, pilihan raya umum kilat dan kini, Pilihan Raya Negeri Sabah.

Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengutamakan kepentingan Malaysia di atas politik kepartian dan membuat rundingan persetujuan dengan parti lawannya untuk mengembalikan kestabilan politik dengan mereformasi beberapa institusi dan undang-undang utama, yang kelemahannya adalah punca kepada permasalahan yang tidak pernah berakhir ini. Bersih 2.0 telah bersama-sama mengeluarkan pernyataan(1) dengan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 10 Jun 2020 bagi memperincikan reformasi utama ini.

Untuk menggapai reformasi ini, kepemimpinan politik dari semua parti diperlukan kerana mungkin memerlukan pindaan perlembagaan. Bersih 2.0 mendesak agar persetujuan dwipartisan dicapai supaya institusi utama kita dapat diperkasakan dan keyakinan terhadap demokrasi kita segera dipulihkan.

Secara tuntas, perkara tersebut adalah:

(1) Kesetaraan di sisi undang-undang dengan menamatkan imuniti dari didakwa dan pendakwaan terpilih dengan pereformasian Kehakiman dan Jabatan Peguam Negara. Kedaultan undang-undang bukan sahaja perlu ditegakkan malah perlu dilihat ditegakkan.

(2) Peranan yang lebih konstruktif untuk pembangkang dan ahli parlimen bangku belakang kerajaan (government backbenchers) dengan mengiktiraf kabinet bayangan pembangkang dan memberi lebih ruang terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memainkan peranan yang berkesan sebagai semak dan imbang kepada cabang Eksekutif.

(3) Reformasi pendanaan politik yang komprehensif dengan tidak membenarkan wakil rakyat yang dipilih untuk memegang jawatan dalam GLC, menyediakan dana awam untuk parti politik dan peruntukan yang saksama kepada semua wakil rakyat yang dipilih.

(4) Mencegah lompatan wakil rakyat yang dipilih dengan menggubal pilihan raya pecat wakil rakyat yang akan memperkasakan pengundi untuk membuang atau mengekalkan wakil rakyat mereka sekiranya melompat parti.

(5) Meninjau semula pembahagian kuasa antara Persekutuan-Negeri-Kerajaan Tempatan berdasarkan tetapi tidak terhad kepada terma dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 supaya semua negeri dan wilayah persekutuan akan mempunyai kuasa setara dengan status sejarah dalam Persekutuan Malaysia.

(6) Reformasi pilihan raya dan perwakilan politik untuk mempromosikan politik pelbagai parti yang sihat. Hal ini termasuklah sistem pilihan raya, persempadanan, demokrasi intra-parti, pemilihan calon, pendaftaran pengundi, penjalanan pilihan raya dan akses media.

Tanpa reformasi ini, kestabilan politik akan menjadi kelaziman baharu dan harapan untuk membangunkan semula ekonomi Malaysia yang terkesan teruk dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi akan menjadi lebih sukar.

Sedang kita memuhasabah 57 tahun kenegaraan kita, rakyat Malaysia tanpa mengenal etnik, kepercayaan dan latar belakang sosial mesti berdiri tegas melawan segala tekanan yang ingin memecahbelahkan perpaduan dan kita perlu lebih aktif untuk mencari titik persamaan bagi membina negara ini. Tidak ada negara yang berpecah dari dalam dapat menghadapi beban cabaran yang sama yang sedang kita pikul bersama ini.

Bersih 2.0 mengucapkan selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Kami sentiasa berdiri bersolidarti dengan semua pihak yang terkesan dengan kejatuhan ekonomi dan mereka yang haknya sedang dinafikan.  

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1)https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-gbm-dan-abim-10-jun-2020-persetujuan-6-perkara-pelbagai-parti-bagi-penjajaran-semula-politik-dan-penamatan-komplot-politik-yang-tidak-berkesudahan/