Mengenali Mejar Zaidi, wira rakyat

Mejar ZaidiSejak reformasi, semakin ramai rakyat biasa yang berani tampil ke depan untuk menentang salah laku pihak berkuasa. Tetapi kakitangan kerajaan tidak pula mengikut langkah ini, kerana takut periuk nasi mereka akan terjejas. Jadi siapakah pegawai tentera yang berani membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang gagal di pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menanggung risiko kehilangan kebebasannya, jika tidak kerjayanya pun?

BERSIH 2.0 menulis kepada Mejar Zaidi Ahmad daripada Tentera Udara di Malaysia, Pangkalan Udara Butterworth, melalui emel beberapa bulan yang lalu untuk mengetahui apakah yang mendorongnya.

Mejar Zaidi Ahmad, 46,lahir di Kg Permatang Tengah, Kota Kuala Muda, Kedah. Beliau anak kelima daripada lapan adik-beradik. Ibunya pesawah dan arwah bapanya pemandu bas.

Matapelajaran kegemaran beliau ketika di bangku sekolah ialah matematik dan bahasa Inggeris. Beliau tidak sempat menamatkan pelajaran di Institut Teknologi MARA kerana masalah kewangan.

Isteri beliau surirumah. Mereka dikurniakan empat anak. Anak sulung berumur 20 tahun dan kini belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Terengganu, anak kedua di Tingkatan 5, yang ketiga di Darjah 3 dan yang keempat berumur tiga tahun.

Makanan kegemaran Mejar ialah nasi berlaukkan ikan keli bakar dan ulam-ulaman, “kerana ikan dan ulam banyak khasiat”. Minuman kegemarannya pula ialah air kelapa muda.

Kegiatan yang diminatinya ialah memancing dan memanjat gunung. “Aktiviti ini memberi ketenangan kerana jauh dari hiruk-pikuk kenderaan dan manusia serta banyak udara segar,” demikian penerangan Mejar. Beliau sudah beberapa kali memanjat Gunung Jerai di Kedah dan Gunung Mat Cincang di Langkawi.

Keluarga tentera

Mejar menceburi bidang tentera kerana minat sejak kecil memandangkan ayahnya juga bekas tentera yang berkhidmat semasa darurat, dan seorang abangnya masuk tentera darat manakala seorang lagi masuk tentera laut.

Tetapi Mejar pula meminati tentera udara kerana beliau rasa ianya kerjaya yang paling mencabar dan menjanjikan gaji yang lumayan. “Saya sukakan cabaran dan ingin mendapat pendapatan yang tinggi untuk membalas jasa-jasa ibu yang bersusah-payah mendidik kami semua sehingga berjaya. Ibu saya seorang ibu tunggal yang mengambil upah menanam padi untuk membesarkan lapan orang anak seorang diri,” katanya.

Mejar Zaidi memasuki TUDM pada tahun 1989 sebagai pegawai kadet dan menjalani latihan selama setahun sebelum ditauliahkan sebagai leftenan muda pada tahun 1990. Selepas tiga tahun, beliau dinaikkan ke pangkat leftenan, dan empat tahun selepas itu, kapten, dan enam tahun selepas itu, mejar, sehingga sekarang. Jumlah masa penerbangan beliau yang dicatat setakat ini sebanyak 1,900 jam.

Bagi Mejar, saat kecemerlangannya adalah ketika mewakili negara untuk berkhidmat di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu di Bosnia-Herzegovina selama lapan bulan. Beliau bangga kerana “dapat membantu rakyat di sana tak kira Islam atau Kristian dan seterusnya berjaya membantu Bosnia mencapai kemerdekaan dan keamanan.”

Etika tentera menjadi pegangan kuat Mejar. “Tentera mengajar ikrar kesatria kepada anggotanya; ikrar yang pertama menyatakan: Beriman kepada Tuhan dan bertaqwa (takut) kepada-Nya.”

Maka itulah pesan beliau kepada semua, “nescaya anda akan selamat di dunia dan di akhirat.”

Kerana itulah juga beliau juga agak sedih apabila melihat ramai yang tidak mengambil peduli tentang apa yang berlaku pada negara asalkan gaji masuk setiap bulan.

Tidak hairanlah pengalaman paling pahit beliau adalah ketika dikenakan pertuduhan di Mahkamah Tentera hanya kerana menyatakan kebenaran tentang dakwat kekal yang digunakan pada pengundian awal Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 (PRU13).

“Kenapa saya diheret ke makhamah sedangkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan pembekal dakwat yang menipu rakyat langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan?” Tanya Mejar Zaidi.

MejarZaidi_kronologiPRU13

PRU13 merupakan kali kedua Mejar keluar mengundi. Sebelum itu, beliau tidak berpeluang membuang undi sebab sibuk dengan kerjaya.

Menerangkan perbezaan antara pilihanraya yang dilaluinya, Mejar berkata, “Semasa PRU12 kami perlu menulis nama dan tandatangan di atas satu borang yang di masukkan ke dalam peti undi bersama-sama kertas undi kami. PRU13 sudah tidak perlu lagi.”

Tambah beliau mengenai PRU13, “Mulanya saya rasa gembira kerana sistem pilihan raya Malaysia semakin bertambah telus dengan adanya dakwat ‘kekal’.”

Namun harapan beliau “hancur berkecai” apabila mendapati dakwat tersebut tidak kekal. Daripada rasa hampa, beliau berasa marah pula, “kerana melihat institusi tentera yang dipandang mulia oleh masyarakat turut diheret supaya bersubahat membohongi rakyat bahawa dakwat yang dibekalkan SPR itu adalah kekal”.

Beliau menerangkan apa yang berlaku pada masa itu:

“Pada hari mengundi saya mengundi di TUDM Butterworth, dan saya langsung tidak menyangka bahawa dakwat itu boleh hilang. Selepas mengundi saya membuka internet dan mendapati ramai anggota tentera yang merungut bahawa dakwat di jari mereka hilang, namun tiada seorang pun yang berani mendedahkan identiti mereka. Saya pun cuba mencuci dakwat di tangan saya dengan sabun pencuci tangan dan pencuci pinggan mangkuk…dalam beberapa jam sahaja kesemuanya hilang tanpa sebarang kesan!

“Saya tidak terus membuat laporan polis pada hari itu. Pada malam saya menonton berita di TV dan mengharapkan pengerusi SPR akan mengumumkan kepada rakyat bahawa dakwat kekal tidak kekal kerana ramai yang berjaya mencuci dakwat di jari mereka.

“Namun pada malam itu (30 April), Pengerusi SPR terus dengan bangganya mengumumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pengundian awal berjalan lancar dan tiada seorang pun yang mengadu bahawa dakwat di jari mereka boleh dicuci. Beliau sekali lagi menyatakan dengan yakinnya bahawa dakwat itu boleh kekal sehingga tujuh hari!”

Officers’ corp

Kata Mejar lagi: “Bagi saya ini tidak boleh dibiarkan – rakyat Malaysia ditipu hidup-hidup! Manakala para tentera pula tidak berani membuat laporan polis kerana masing-masing bimbang dengan tindakan pihak atasan. Saya merasa bahawa saya telah mengkhianati rakyat sekiranya saya membiarkan perkara ini terus berlaku, kerana gaji saya dibayar daripada wang rakyat.

“Saya juga bimbang jika saya tidak membuat laporan polis, penipuan yang lebih besar akan berlaku pada hari mengundi sebenar iaitu pada 5 Mei. Selain itu saya juga syak pembekal dakwat telah menipu SPR dengan membekalkan dakwat yang rendah kualiti kepada SPR (berlakunya penyelewengan).

“Sebagai seorang Islam, saya wajib menunaikan amanah seluruh rakyat yang memberi kepercayaan kepada anggota tentera agar menjaga keselamatan negara dari sebarang anasir sama ada dari luar atau dalam negara.

“Saya sudah agak saya akan dikenakan tindakan oleh pihak tentera, walaupun saya yakin apa yang saya buat ialah suatu tindakan yang akan mengangkat martabat profesion ketenteraan, terutama apa yang dipanggil sebagai officers’ corp – atau kumpulan elit pegawai-pegawai tentera yang amat berbangga dengan sikap integriti, keberanian, kesetiakawanan, kecemerlangan dan mengutamakan negara dan profesion ketenteraan lebih dari segalanya, hatta nyawa sendiri.

“Namun sedih sekali semua itu sekarang hanyalah pemanis bibir sahaja kerana kelompok elit tentera sekarang lebih mementingkan mengejar pangkat dan kebesaran berbanding mempertahankan nilai-nilai murni profesion ketenteraan yang disanjung tinggi oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama,” kata Mejar.

Beliau berkata, selepas laporan polisnya tentang dakwat kekal dibuat, beliau terus ditukarkan membuat tugas yang tiada kena-mengena dengan penerbangan.

Wira rakyat, perwira negara

Menyentuh mengenai nasib beliau di bawah pertuduhan Mahkamah Tentera, Mejar berkata: “Biarlah saya hilang pangkat dan pekerjaan, malah mungkin hilang pencen dan segala faedah-faedah yang layak dimiliki oleh seorang pesara kerajaan sekiranya saya dibuang kerja dengan keji atau dipenjarakan sekurang-kurangnya sehari. Saya tidak kisah semua itu kerana sebagai seorang Islam saya yakin bahawa rezeki itu di tangan Allah, bukan di tangan manusia.

“Biarlah saya hidup susah selepas ini asalkan saya boleh tidur lena setiap malam kerana saya telah melaksanakan tanggungjawab saya kepada negara dan rakyat, dan tidak pernah mengkhianati amanah yang diberi kepada saya sebagai seorang perwira negara.”

* Isteri Mejar Zaidi dan seorang anggota bawahannya, Flait Sarjan Jamal bin Ibrahim, turut membuat laporan polis bersama beliau. Seperti Mejar Zaidi, Flait Sarjan Jamal juga dikenakan pertuduhan di bawah undang-undang tentera, tetapi hukuman yang dihadapi lebih ringan kerana beliau mendakwa melakukannya atas arahan Mejar Zaidi.