Kenyataan Media Bersih 2.0 (15 Ogos 2020): Bila Pengundi Luar Kawasan Boleh Undi Pos?

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyatakan kesanggupan secara umum bila pengundi luar kawasan boleh mengundi secara pos. Adakah perkara ini akan terlaksana untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15?

Bersih 2.0 merujuk kepada kenyataan SPR pada 15 Ogos 2020 bahawa tidak ada undi pos bagi orang Sabah yang tinggal di Semenanjung atau Sarawak untuk Pilihan Raya Negeri Sabah kelak. Bersih Sabah telah mengeluarkan kenyataan(1) dan memulakan petisyen sokongan(2) pada 2 Ogos menggesa agar kemudahan tersebut dipanjang kepada orang Sabah yang tinggal di luar Sabah. 

Bersih 2.0 kecewa bahawa SPR masih tidak dapat melaksanakan reformasi prosedur ini walaupun ianya pernah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diketuai oleh Dr Maximus Ongkili pada 2012. Undi Pos dicadangkan untuk diberikan kepada orang Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang berada di luar kawasan mereka semasa pilihan raya.

Kami menggesa SPR mewartakan pengundi luar kawasan sebagai pengundi awal yang layak untuk undi pos di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 2012(Undi Awal) Seksyen 3(1)(e) untuk mengimplementasi proses tersebut.

Semasa PRU14, seramai 51, 472 pegawai daripada Jabatan Penyelamat, Jabatan Imigresen, hospital dan klinik, Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM), Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan(NADMA) telah memohon untuk hak mengundi secara pos di bawah peruntukan ini(3).

Bersih 2.0 ingin mengingatkan SPR bahawa ianya adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan pengundian semudah mungkin bagi pengundi membuang undi dan sebarang kesukaran yang dikenakan kepada pengundi secara langsung atau tidak langsung melalui peraturan yang tidak perlu atau tidak adanya kemudahan boleh dianggap sebagai halangan kepada hak pengundi.

Banyak rakyat Malaysia, termasuk orang Sabah dan Sarawak, terpaksa mencari kerja yang jauh daripada kawasan mereka disebabkan pembangunan ekonomi yang tidak sekata antara negeri dan mereka tidak sepatutnya dibebani secara kewangan atau diletakkan dalam risiko semasa pandemik Covid-19 ini dengan perjalanan pulang ke kawasan masing-masing hanya untuk melaksanakan hak asasi mereka untuk mengundi. Kami menganggarkan hampir 20 peratus pengundi Malaysia Timur yang tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia serta ramai orang Semenanjung yang tinggal dan bekerja di Malaysia Timur.

Kami menggesa agar SPR dapat mempercepatkan proses pengundian pos atau apa saja cara lain bagi membolehkan rakyat Malaysia yang mahu mengundi berbuat demikian tanpa ada kesulitan. SPR perlu menetapkan tarikh untuk proses tersebut siap dan harapannya agar sempat untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlaku bila-bila masa sebelum September 2021.

Sebarang proses atau kemudahan bagi undi pos atau undi tidak hadir mesti terbukti tahan lasak, telus, adil dan mudah kepada pengundi yang layak. Ianya juga mesti mendapat keyakinan daripada pengundi dan calon bahawa undi tersebut adalah suara sebenar mereka yang mengundi.

Bersih 2.0 mengambil maklum bahawa satu jawatankuasa khas SPR untuk menambahbaik proses undi pos dan untuk mengkaji alternatif yang lain telah ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut perlu melibatkan pelbagai pemegang taruh untuk mencadangkan sebarang perubahan dan kami lebih daripada sanggup untuk memberikan pandangan sekiranya diperlukan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1) Postal Voting for Sabahans residing in Sarawak and West Malaysia is a Must (2nd August 2020) – https://www.bersih.org/postal-voting-for-sabahans-residing-in-sarawak-and-west-malaysia-is-a-must2-august-2020/

(2) Benarkan Pengundi Sabah di Sarawak dan Semenanjung Malaysia Untuk Mengundi Pos – https://bit.ly/UndiPos4Sabah

(3) https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/05/06/over-200000-malaysians-eligible-for-postal-voting-in-ge14