Kenyataan Media BERSIH 2.0 (9 November 2020): Hentikan Intimidasi Polis Terhadap Mahasiswa, Pertahankan Kebebasan Bersuara

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menghentikan siasatan dan intimidasi terhadap gerakan mahasiswa daripada University of Malaya Association of New Youth (UMANY). Gerakan mahasiswa tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan media bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” pada 31 Oktober 2020.

Berikutan kenyataan tersebut, pada 5 November, Presiden dan Naib Presiden UMANY iaitu Robin Yap Wen Qing dan Tan Li Yuan telah disiasat oleh polis dibawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Lebih teruk lagi adalah apabila pihak polis turut menggeledah rumah Robin dan merampas komputer riba serta telefon bimbit milik beliau. Di dalam rakaman video yang diambil, pihak polis yang menggeledah rumah Robin tidak menunjukkan sebarang identifikasi sebagai seorang pegawai polis serta tidak memakai uniform(1). Mantan presiden UMANY, Wong Yan Ke yang merakam proses penggeledahan pihak polis juga telah dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk disoal siasat. Hari ini, 9 November 2020, enam lagi ahli jawatankuasa UMANY telah dipanggil oleh polis untuk disoal siasat.

BERSIH 2.0 mengutuk sebarang tindakan daripada pihak berkuasa yang ingin menghalang rakyat daripada bersuara dan melontarkan pandangan secara sihat terhadap isu-isu yang berlegar dalam negara. Penggunaan undang-undang terhadap pihak yang hanya bersuara menggunakan pena adalah satu bentuk intimidasi dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas membenarkan rakyat untuk melontarkan pandangan dengan bebas.

BERSIH 2.0 juga melihat tindakan pihak polis yang hanya memanggil mahasiswa yang bersuara sebagai satu tindakan yang berat sebelah kerana Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim juga telah mempersoalkan perkara yang sama dalam ciapan Twitter beliau pada 26 Oktober 2020(2). Sekiranya membangkitkan dan membincangkan sesuatu isu berkaitan perlembagaan tidak bersalah untuk Tan Sri Rais Yatim, maka pihak polis juga perlu menghentikan segera siasatan terhadap mahasiswa-mahasiswa UMANY.

BERSIH 2.0 sekali lagi menggesa pihak polis menghormati hak rakyat untuk bersuara dan memberhentikan sebarang siasatan terhadap mahasiswa tersebut dengan segera. Intimidasi seperti ini hanya membazir masa dan sumber oleh pihak polis yang perlu disalurkan terhadap kegiatan jenayah yang lebih membahayakan keselamatan rakyat dan negara.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(1) https://www.facebook.com/100016896435574/videos/812983802608160/?d=n

(2) https://twitter.com/DrRaisYatim/status/1320597882475442176?s=08