Kenyataan Media (3 Mac 2020): Benarkan Rakyat Bebas Bersuara Dalam Krisis Kerajaan Pintu Belakang

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa polis untuk menghentikan segera penekanan terhadap aktivis masyarakat madani, termasuk Naib Pengerusi (Sabah) kami, Beverly Joeman, dan benarkan rakyat untuk bebas bersuara tentang kerajaan pintu belakang yang ditubuhkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Dalam krisis kerajaan pintu belakang ini, pihak polis perlu bersikap neutral dan menjalankan tugas mereka secara profesional untuk mempertahankan hak rakyat dan bukan menekan demonstrasi yang aman.  

Penekanan polis, dalam bentuk penyiasatan polis terhadap aktivis, merupakan gangguan dan intimidasi untuk menakutkan orang awam dan mencegah rakyat untuk lebih ramai keluar membantah kerajaan pintu belakang PN.

Intimidasi sebegini bukan sahaja membazirkan sumber pihak polis, malah ia bercanggah dengan hak asasi untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Fadiah Nadwa Fikri, yang dikatakan terlibat dalam protes di Dataran Merdeka pada Februari 25 telah disiasat hari ini di bawah Akta Hasutan dan Akta Multimedia dan Komunikasi. 

Beliau akan disiasat lagi esok berkenaan dengan satu demonstrasi pada Februari 29 bersama dengan empat orang aktivis lagi pada jam 1.00pm di IPD Dang Wangi.

Beverly Joeman, Naib Pengerusi BERSIH 2.0, adalah salah seorang daripada 16 aktivis yang akan disiasat oleh polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 esok pada jam 3.00pm di IPD Dang Wangi. Mereka dikatakan terlibat dalam demonstrasi yang berlaku di Pasaraya Sogo pada 1 Mac 2020. 

15 orang akitivis yang lain termasuk Amir Hariri, Asmalif Abdul Adam, Abbas Azmi, Muhammad Faiz Fadzil, Amar Atan, Nalini, Asheeq Ali, Aishah, Azam, Takim, Rendy, Dobby Chew, Ustaz Ridzuan dan Marina Mahathir. 

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(Kredit gambar: Malaysiakini)