KENYATAAN MEDIA (23 MEI 2018): Kerajaan Baru Perlu Bertindak Segera Memulihkan Kepercayaan Awam Terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) menyambut baik pengiktirafan Jawatankuasa Reformasi Institusi oleh ‘Council Of Elders’ sebagai satu langkah yang baik oleh kerajaan baru dalam memulakan proses reformasi institusi seperti yang telah dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Hari ini, BERSIH 2.0 menyerahkan satu Pelan Tindakan Reformasi Pilihan Raya kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi untuk mengimplementasi secara strategik proses reformasi yang dicadangkan dalam garis masa tertentu (rujuk lampiran). Dalam keadaan fokus dan gerak kerja kebanyakannya telah mula ditumpukan kepada isu 1MDB, BERSIH 2.0 menekankan bahawa reformasi pilihan raya juga perlu dimulakan segera, bertujuan untuk memastikan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil selaras dengan visi Malaysia baru dalam janji yang dinyatakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Walaupun terdapat banyak bukti yang kukuh dan masalah pengurusan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14, tidak ada satu pun pesuruhjaya mahupun pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tampil bertanggungjawab. Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Bin Abdullah, dan timbalannya Tan Sri Othman Bin Hj Mahmood dan lima lagi pesuruhjaya yang lain sehingga hari ini tanpa segan silu memegang jawatan tersebut dan tidak mahu meletakkan jawatan serta mengambil tanggungjawab.

BERSIH 2.0 sekali lagi menekankan bahawa tindakan terpenting yang perlu diambil segera adalah untuk mengembalikan kebebasan dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya, kerana tiada reformasi yang akan berlaku sekiranya SPR yang sedia ada dikekalkan. Tujuh pesuruhjaya SPR perlu meletakkan jawatan segera kerana telah kehilangan kepercayaan awam dan bersubahat dalam salahlaku pilihan raya.

BERSIH 2.0 menyeru Jawatankuasa Reformasi Institusi dan kerajaan untuk segera memberikan perhatian kepada reformasi dan implementasi berdasarkan pelan tindakan ini dalam tempoh 100 hari dan dua tahun berikutnya.

Untuk memulakan proses reformasi tersebut, BERSIH 2.0 menyeru Perdana Menteri untuk memulakan proses penggantungan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Bin Abdullah dan timbalannya, Tan Sri Othman Bin Haji Mahmood bagi menjalankan siasatan dan penyingkiran seperti yang termaktub dalam Artikel 114(7) Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya, satu tribunal perlu ditubuhkan untuk menyingkirkan tujuh pesuruhjaya SPR sedia ada bagi memberi laluan kepada barisan pesuruhjaya baru yang lebih kompeten, dipercayai dan bebas untuk mengambil alih. Tribunal tersebut boleh diambil alih oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, merujuk kepada Artikel 114(7) dan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan.

Langkah drastik ini diperlukan segera bagi memastikan kebebasan dan integriti SPR dibina semula serta pesuruhjaya-pesuruhjaya yang berkenaan dipertanggungjawabkan atas kegagalan mereka mengangkat nilai ketelusan pilihan raya.

Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Lampiran:
1) Electoral Reform Action Plan (Pelan Tindakan Reformasi Pilihan Raya)
2) Summary of the CCGP on Parliamentary Reform