KENYATAAN MEDIA (14 JUN 2018): Pesuruhjaya SPR Yang Lain Perlu Dilucutkan, Tubuh RCI bagi PRU14

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan keputusan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Hashim Abdullah untuk bersara awal mulai 1 Julai. Kami mempersoalkan penagguhan keputusan ini kerana panggilan untuk pelucutan Hashim Abdullah telah berlegar sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PTU14) pada 9 Mei, dan untuk mengingatkan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa tiada maklumat atau bukti penting mengenai pemanipulasian dan penyelewengan pilihan raya yang telah dihapuskan, ditukar atau disembunyikan.

BERSIH 2.0 menggesa keenam-enam pesuruhjaya yang lain untuk meletak jawatan dengan segera atas kegagalan mereka untuk mendukung, melindungi dan mengimplementasikan hak demokratik untuk mengundi serta prinsip-prinsip pilihan raya yang Bersih, bebas dan adil.

Oleh kerana pesaraan Hashim bukanlah pelucutan atas pengisytiharan kelemahan kecekapan, integrity dan kredibiliti SPR, dan masih terdapat enam pesuruhjaya di SPR; BERSIH 2.0 juga memanggil satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat penipuan dan kesalahan pilihan raya yang berlaku semasa PRU14, dan fungsi yang dimainkan oleh pesuruh-pesuruhjaya – atau sebaliknya. RCI ini mesti dilengkapkan dalam tempoh 6 bulan dari penubuhannya.

Dengan kekosongan jawatan pengerusi SPR, BERSIH 2.0 melihat ini sebagai satu peluang untuk kerajaan menunjukkan komitmen mereformasikan sistem pilihan raya dengan melantik seseorang dengan integrity yang tinggi dan kefahaman reformasi yang boleh membantu dalam mereformasikan sistem pilihan raya seperti yang tertera dalam Pelan Reformasi Sistem Pilihan Raya BERSIH 2.0.

Sebagai langkah interim untuk mengisi kekosongan pengerusi SPR, kami menyeru Perdana Menteri supaya menggunakan proses terbuka dan telus dalam usaha mencari calon terbaik. Pencalonan dari masyarakat sivil dan orang awam harus dipertimbangkan.

Untuk pembaharuan jangka panjang mengenai proses pelantikan pesuruhjaya SPR yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, BERSIH 2.0 menyeru kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa pencalonan pesuruhjaya pilihan raya yang terdiri daripada wakil ketiga-tiga cabang kerajaan, badan berkanun dan masyarakat sivil untuk menerima dan menapis permohonan.

Pendengaran awam perlu diadakan untuk calon-calon yang telah disenarai pendek, termasuk proses-proses untuk orang awam menyemak CV calon dan memberi maklum balas. Nama calon yang dipilih akan dikemukakan di parlimen untuk diluluskan dan kemudiannya diperkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0