Bersih 4: Naib Pengerusi Bersih Sabah didakwa!

Kenyataan Media – 21 Oktober 2015

Bersih 4: Naib Pengerusi Bersih Sabah didakwa!

Naib Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH 2.0) Sabah, Jannie Lasimbang didakwa di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu Sabah, hari ini.

BERSIH 2.0 justeru menyatakan solidariti bersama Jannie dan mengutuk pendakwaan ke atas beliau atas alasan gagal mengemukakan notis 10 hari menurut Akta tersebut.

Jannie merupakan individu pertama yang didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman ekoran perhimpunan aman Bersih 4 yang turut berlangsung di Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Sebelum ini, Jannie sudah pun disoal siasat bersama sebahagian penganjur, sukarelawan dan pemidato sebaik sahaja acara di Kota Kinbabalu selesai.

BERSIH 2.0 menjangkakan bahawa ramai lagi akan turut didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman ekoran keputusan Mahkamah Rayuan awal bulan ini bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta tersebut adalah tidak bersalahan dengan Perlembagaan.

Mahkamah bertingkah dengan penghakimannya sebelum ini dalam kes Nik Nazmi bahawa keperluan notis 10 hari menurut Akta tersebut adalah tidak berpatutan dan bercanggah dengan asas hak asasi yang digariskan Perlembagaan.

BERSIH 2.0 menyifatkan pendakwaan terpilih ke atas Jannie dan barangkali beberapa aktivis lagi adalah sebahagian daripada usaha untuk terus menakut-nakutkan orang ramai daripada menyatakan bantahan salah laku pihak berwajib.

BERSIH 2.0 turut melihat pendakwaan ini sebagai satu lagi serangan ke atas hak membantah, dan rakyat Malaysia yang telah menyatakan sokongan mereka terhadap hak membantah melalui perhimpunan Bersih 4 akan terus berjuang menegakkan hak membantah.

Meski Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam satu kenyataan semalam menyebut bahawa negara membenarkan demonstrasi aman, apa yang jelas ialah walaupun wujud kebebasan untuk berhimpun, nampaknya seakan tiada kebebasan selepas berhimpun.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).