BERSIH 2.0 gesa siasat dakwaan hakim memberi komen dalam laman berita

KENYATAAN MEDIA (5 November 2014)

 

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa supaya perbicaraan Mejar Zaidi Ahmad ditangguhkan sehingga penyiasatan yang menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan bahawa seorang hakim yang terlibat telah membuat komen di laman berita Malaysiakini tentang kes tersebut.

 

Komen tersebut membalas laporan yang disiarkan pada 20 Oktober, setelah Mahkamah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

 

Pihak Berkuasa Bersidang harus memandang perkara ini secara serius. Jika siasatan mendapati bahawa memang benar komen tersebut dikeluarkan oleh seorang hakim yang bersidang, ia bermakna sudah ada penghakiman awal dalam perbicaraan ini. Maka langkah yang wajar diambil oleh Pihak Berkuasa Bersidang (convening authority) adalah untuk membubarkan Mahkamah Tentera serta-merta demi keadilan.

 

Sekali lagi, BERSIH 2.0 menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia untuk menggugurkan segala pertuduhan terhadap Mejar Zaidi dan membebaskan beliau serta-merta. Jawatan Mejar Zaidi yang disandangnya sebelum ini juga harus dikembalikan semula kepadanya. Tindakan Mejar Zaidi membuat laporan polis tentang dakwat kekal yang tidak berfungsi pada hari pengundian awal Pilihan Raya ke-13 adalah atas nama keadilan dan kebenaran, nilai-nilai yang seharusnya disanjungi dan bukannya dihukumi.

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusoff, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).