Jawatankuasa Pemandu Baharu, Sebuah Komitmen Baharu Untuk Reformasi Pilihan Raya

Bersih 2.0 Saturday November 30th, 2013 0

bersih2letterhead_new

Kenyataan Akhbar, 30 November 2013

Jawatankuasa Pemandu Baharu, Sebuah Komitmen Baharu Untuk Reformasi Pilihan Raya

Hari ini, organisasi pendukung BERSIH 2.0 telah selesai memilih lima anggota baru Jawatankuasa Pemandu. Enam lagi wakil zon bakal dipilih melalui pemilihan tempatan penghujung Januari 2014 kelak. BERSIH 2.0 mengucapkan selamat datang ke Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 buat individu-individu yang telah terpilih.

Jawatankuasa Pemandu yang baharu terdiri dari:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah

Naib Pengerusi: Dr. Ahmad Farouk Musa

Bendahari: Masjaliza Hamzah

Ahli Jawatankuasa Pemandu Berportfolio: Farhana bte Halim dan New Sin Yew

BERSIH 2.0 mengucapkan berbanyak terima kasih kepada komitmen dan kerja keras yang telah dicurahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan, Sekretariat, sukerelawan, dan organisasi-organisasi pendukung sepanjang tempoh pemilihan ini. Jawatan kuasa yang baharu juga ingin mengucapkan terima kasih kepada terutamanya organisasi pendukung yang telah mengamanahkan tanggungjawab untuk memimpin gerakan ini buat tempoh dua tahun yang akan datang. Sejak 2010, BERSIH 2.0 telah melalui jalan panjang dalam sejarah gerakan rakyat.

Kami ingin  mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pemandu yang lepas. Kedua-dua Pengerusi Bersama; Dato’ Ambiga Sreenevasan dan Datuk A. Samad Said wajar diberi penghargaan khusus buat segenap pengorbanan, jasa, dan kegigihan berhadapan pelbagai ancaman dalam menegakkan perkara yang benar.

BERSIH 2.0 telah menempa sejarah sebagai satu-satunya gerakan yang berjaya membariskan pelbagai bentuk sokongan yang sangat tinggi dari segenap lapisan masyarakat dalam Negara ini. Wira sebenar dalam perjuangan BERSIH 2.0 ini tentu sekali rakyat Malaysia yang telah turun ke jalan raya, memantau pilihan raya, menyumbang harta dan masa, serta segenap bentuk sokongan yang tidak pernah disangka-sangka. Mereka inilah yang telah membuktikan bahawa rakyat tidak pernah takut mahupun putus asa dalam perjuangan ini. Sekali lagi, terima kasih kami ucapkan kepada semua.

Gerak kerja dan fokus BERSIH 2.0 tidak akan beralih arah. Lapan tuntutan yang dikemukan selama ini masih tegas diperjuangkan, apalagi setelah PRU13 membuktikan kewajarannya. Buat masa terdekat, keutamaan yang telah digariskan kami jelas; menuntut supaya persempadanan semula dihentikan, memandangkan kepincangan masih berlaku dalam daftar pemilih dan keraguan terhadap kebebasan Suruhajaya Pilihan Raya belum tercabut. Dengan pelbagai kepincangan dalam pilihan raya yang lalu, termasuklah gerrymandering, pembahagian tidak adil, dan saiz kawasan pilihan raya yang tidak sekata; kami percaya bahawa persempadanan semula yang akan datang ini akan terus membelit dan merugikan pengundi dalam pilihan raya yang akan datang.

Kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman baru-baru ini, walaupun menggemparkan namun bukan sesuatu yang mengejutkan jika kita menilai kembali sikap SPR selama ini yang lebih menyebelahi kepentingan parti politik yang sedang berkuasa hari ini berbanding menjalankan tugas dengan amanah dan adil. SPR telah gagal, dan tidak pernah sama sekali menyesalinya. Mereka harus bertanggungjawab. Persaraan Timbalan Pengerusi SPR tidak mencukupi – kesemua anggota SPR wajib meletak jawatan, dan SPR yang baharu dilantik dengan melibatkan masyrakat sivil.

Pembersihan daftar pengundi tetap menjadi fokus utama kami. Tanpa daftar pengundi yang bersih, adalah mustahil sama sekali untuk menjalankan persempadanan semula yang wajar memandangkan jumlah pengundi sebenar dalam sesuatu kawasan tidak diketahui. Organisasi masyarakat sivil telah berulang kali menawarkan bantuan kepada SPR dalam usaha membersihkan daftar pengundi tanpa sebarang imbuhan. Kami juga masih menunggu keputusan dari Suruhanjaya Siasatan Di Raja Sabah, dan mengharapkan rakyat Malaysia turut dapat memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengemukan laporan tersebut.

Fokus lain buat BERSIH 2.0 kini adalah membina kapasiti rakyat dalam menyusun gerakan memperkembang dan  memperjuangkan agenda pilihan raya bersih dan adil. Beberapa kumpulan baik yang berhubungan secara formal mahupun tidak telah tumbuh semenjak himpunan Bersih yang lalu. Kami berhasrat untuk terus berkerjasama dalam menyokong pergerakan-pergerakan mereka.

Maka yang demikian, bagi menggalakkan semangat dan usaha yang ditonjolkan terutama sekali oleh generasi muda segenap bangsa, Anak Muda BERSIH bakal ditubuhkan bagi memberi platform dan ruang yang lebih besar, disamping dapat membina pemimpin buat masa hadapan.

Sebagai tambahan, BERSIH 2.0 akan berusaha mengukuhkan lagi capaian di luar daerah supaya masyarakat terutama yang sukar mendapatkan informasi tidak lagi terpinggir dan diasingkan.

Kami sekali lagi meletakkan komitmen kami dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil buat Negara ini. BERSIH 2.0 mengingatkan kerajaan dan parti-parti politik dari segenap penjuru; pilihan raya yang bersih dan adil bukan satu pilihan, sebaliknya adalah hak. Agenda reformasi pilihan raya seperti 15 tuntutan buat SPR pada 2011; 22 usul kepada PSC; keputusan tertangguh RCI Sabah; kesemuanya perlu dimuktamadkan segera tanpa sebarang alasan. Janji kami; jika agenda reformasi pilihan raya  ini tidak dipenuhi; Bersih 4.0 adalah jawapannya.

Salam BERSIH!

Jawatankuasa Pemandu, Penjawat Pengurusan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)

Comments are closed.