KEADILAN UNTUK MANGSA KEGANASAN POLIS

Bersih2.0 Saturday May 19th, 2012 0

KENYATAAN AKHBAR, 19 May 2012 

Duduk Bantah Bersih 3.0  telah berlangsung tiga minggu dahulu. Lebih dari 250,000 warga Malaysia – anak semua bangsa –  telah berhimpun untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih. Perhimpunan BERSIH 3.0 ini telah memperlihatkan keganasan pihak polis yang belum pernah dilihat sebelum ini. Keganasan telah dilakukan terhadap penunjuk perasaan atas alasan yang boleh dipersoalkan. Alasan dimana satu kumpulan kecil individu yang dikatakan telah merempoh masuk ke kawasan Dataran Merdeka yang menjadi kawasan larangan  oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Setiap hari semenjak  perhimpunan BERSIH 3.0  tamat akan muncul bukti dan tuduhan keganasan polis yang baru. Amat mengecewakan, hingga ke hari ini, pihak kerajaan tidak mengambil tindakan untuk mendakwa pegawai penguatkuasa yang telah melakukan keganasan. Ini adalah gambaran budaya kebal dan tidak bertanggungjawab  pihak polis. Budaya yang sama juga dipakai oleh Suruhanjaya PilihanRaya (SPR). Lembaga SPR inilah yang sedang dituntut oleh BERSIH 2.0 untuk  mengendalikan pilihan raya yang adil dan bersih.

Diatas kesedaran ini, kami akan berhati-hati untuk menerima kenyataan Hishammuddin Hussein – Menteri Dalam Negeri – yang mengatakan bahawa sesiapa melanggar undang-undang akan didakwa.  Pihak yang melanggar undang-undang ini termasuklah penunjuk perasaan, penganjur, pengacau  dan pegawai  polis. Hingga ke tarikh ini, penekanan hanya ditujukan kepada penunjuk perasaan. Hanya dua orang pegawai polis yang telah ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

BERSIH 2.0 merasa amat terganggu apabila tidak ada ketelusan dan maklumat tentang status penyiasatan terhadap anggota polis. Orang ramai juga tidak diberi maklumat  tentang  lebih dari 100 orang warga yang sedang diburu kerana mereka tidak menyerah diri. Keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap lembaga kepolisian akan hanya bertambah jika siasatan keatas keganasan polis juga dijalankan dengan segera. Mangsa juga wajib turut serta dalam satu siasatan bebas untuk memastikan hak kepentingan mereka terjaga.

Justeru, BERSIH 2.0 sekali lagi menyarankan betapa pentingnya satu badan bebas untuk mengendalikan siasatan terhadap apa yang telah berlaku pada 28 April lalu. Ini untuk mengenal pasti apa dan siapa yang memulakan huru hara dan keganasan. Ini termasuklah menyiasat dengan rapi tentang bagaimana tembok halangan kawat berduri telah ditembusi. Keganasan polis juga  perlu disiasat secara terperinci. Siasatan juga perlu dijalankan terhadap peranan pengacau. Tanpa mengenalpasti apa yang sebenarnya berlaku akan menimbulkan risiko dimana Kerajaan Malaysia akan mendakwa orang yang tidak bersalah.

KEGANASAN POLIS KETIKA DAN SESUDAH BERSIH 3.0

BERSIH 2.0 bersama SUARAM, Jawatankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor dan Peguam Untuk Kebebasan (Lawyers For Liberty) telah mengumpulkan pengakuan sah dari mangsa keganasan polis ketika Duduk Bantah BERSIH 3.0. Hingga ke tahap ini 75 individu telah dihubungi. Mereka ini telah menjadi mangsa keganasan polis ketika berhimpunan. Ramai mangsa keganasan ini telah cedera. Ramai  akan menghadapi masalah kerosakan  kesihatan yang berjangka panjang.

Kebanyakan mangsa membuat aduan:

  1. Peluru gas pemedih mata telah ditembak mengarah kepada orang ramai
  2. Pengunaan kekerasaan yang melampau terhadap penunjuk perasaan. Termasuk dipukul berkali-kali apabila telah ditahan
  3. Penangkapan rambang tanpa apa-apa bukti yang si penunjuk perasaan telah salah laku. Juga diserang oleh gerombolan polis terhadap individu yang telah ditahan
  4. Kegagalan yang cukup terang dimana pihak polis telah tidak menggunakan nama dan angka pengenalan diri

Keganasan polis tidak berakhir setakat  28 April 2012.  Semenjak dari tarikh ini pihak polis telah mengeluarkan gambar muka 141 individu yang dikhendaki pihak berwajib kerana  dikatakan telah melanggar undang-undang ketika berhimpun. Pihak polis kelihatan seperti pelesit ke hulu ke hilir mencari individu-individu ini. Tetapai pihak polis telah gagal untuk mencari pegawai polis yang telah melakukan keganasan. Ada individu yang telah menyerah kepada polis untuk memberi keterangan tetapi mereka telah diganasi, dimaki hamun dan didera. Antara mereka yang telah memberi keterangan ialah pemimpin pelajar bernama Khalid Ismath. Paling terbaru ialah Mohd Safuan yang telah dipaksa mangakui yang dia telah melanggar kereta polis.

Minggu-minggu kebelakangan ini telah membuktikan hak asasi rakyat Malaysia dicabul. Rekod hak asasi Malaysia mengalami kerosakkan yang amat besar. Kali ini keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap perhimpunan aman adalah yang paling buruk. Justeru, pencabulan hak asasi sedemikian buruk tidak boleh dibenarkan berlalu tanpa kebenaran dibongkar. Ini  wajib dilakukan demi untuk menjamin keadilan semua mangsa.

TUBUHKAN  BADAN PENYIASAT BEBAS UNTUK SIASAT KEGANASAN POLIS

Sesudah 28 April Kerajaan Malaysia telah mengumumkan penubuhan satu panel untuk menyiasat keganasan yang berlaku semasa BERSIH 3.0. Walau apa pun, kami telah menunjukan bahawa penubuhan panel ini adalah satu kesilapan besar. Bukan sahaja individu ahli panel ini disyaki malah panel ini juga tidak berlandaskan perundangan yang sah.

BERSIH 2.0 sekali lagi merakamkan permintaan agar SUHAKAM akan menjalankan siasatan terbuka keatas pencabulan hak asasi ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012 yang lalu. SUHAKAM bergerak dilandasan  hukum dan undang-undang.  SUHAKAM memiliki struktur yang sah untuk menjalankan penyiasatan. SUHAKAM berpandukan piagam hak asasi. Ini amat berbeza dari panel yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Sekali lagi kami menyeru agar Kerajaan Malaysia menjemput Frank La Rue – Rapporteur Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab untuk Mengaju dan Mempertahan Hak Kebebasan Bersuara dan Maina Kiai juga Rapporteur Khas  PBB yang bertanggungjawab keatas Hak Berhimpun dan Berpersatuan. Mereka berdua ini wajib dibenarkan menjalankan sisatan bebas. Kemudian mereka boleh memberi laporan kepada Kerajaan Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa.

Bersama dengan ini BERSIH 2.0 juga mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Aduan Salah Laku Polis (Independent Police Complaints Commission). Kumpulan masyarakat madani tanpa henti-henti telah menuntut agar ditubuhkan badan bebas ini untuk menyelidik semua tuduhan salah laku, terutama dalam lembaga kepolisian. Kelakuan ganas pihak polis ketika perhimpunan BERSIH 3.0  dan keganasan polis  keatas penunjuk perasaan yang disyaki melanggar undang-undang membuktikan betapa perlunya Suruhanjaya Salah Laku Polis ditubuhkan.

Kerajaan Malaysia telah mengambil sikap tidak peduli terhadap pelbagai tuduhan walau pun jelas terbukti polis telah mengganas. Sikap tidak peduli ini memberikan takrifan bahawa Kerajaan Malaysia menghalalkan keganasan. BERSIH 2.0 berharap gerombolan polis yang melakukan keganasan ini akan dikenalpasti untuk didakwa. Hanya dengan ini barulah mangsa mereka mendapat pembelaan dan keadilan.

Salam BERSIH!

 

JAWATAN KUASA PEMANDU

Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih 2.0 (BERSIH 2.0)

 

 Jawatankuasa Pemandu  BERSIH 2.0 adalah:

Dato’ Ambiga Sreenevasan (Co-Chairperson), Datuk A. Samad Said (Co-Chairperson), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Ambrose, Andrew Khoo, Anne Lasimbang, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah, Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rais, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Matthew Vincent, Niloh Ason, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh and Zaid Kamaruddin.

Comments are closed.